Galeri Warisan Sudut Jalan: Little India

img-fluid

Mengenai Skim Galeri Warisan Sudut Jalan

Skim Galeri Warisan Sudut Jalan adalah usaha kolaborasi antara muzium NHB, institusi warisan dan galeri komuniti sertapemilik kedai tempatan di kawasan masing-masing untuk memperkukuhkan perkongsian dengan komuniti dan meningkatkan kesedaran dan memupuk penghargaan yang lebih mendalam terhadap warisan di ruang sehari-hari.

Skim ini membolehkan NHB bekerjasama dengan pemilik kedai tempatan dengan sejarah sekurang-kurangnya 30 tahun di kawasan terpilih untuk bersama-sama membuat "muzium mini" yang memaparkan sejarah dan warisan perniagaan dan perdagangan masing-masing. Galeri yang terletak di kedai-kedai ini akan memaparkan dokumen sejarah, gambar dan artefak yang menceritakan kisah- kisah mereka.

Selain menyediakan dana, sokongan kuratorial dan bantuan dalam membuat pameran, NHB juga akan bekerjasama dengan pemilik kedai tempatan untuk mengembangkan program seperti ceramah, lawatan dan bengkel, dan memberi peluang untuk mengambil bahagian dalam acara penting NHB seperti Pesta Warisan Singapura dan Pesta Budaya oleh institusi warisan masing-masing di kawasan mereka.

Warisan Kedai Jual Daging Tekka: SIS Premium Meats

Selama lebih 60 tahun, SIS Premium Meats telah membekalkan daging bermutu tinggi kepada para pelanggan di Little India. Perniagaan itu diasaskan oleh Sinnasamy Irudayasamy, yang sampai di Singapura dari Tamil Nadu pada tahun 1949 untuk bekerja di kedai kopi dan kemudian di gerai daging kambing. Sinnasamy kemudian membuka gerai daging kambingnya sendiri, yang dinamakan S I Samy, pada tahun 1953 di Pasar Tekka lama.

Senarai pelanggan dan reputasi S I Samy semakin berkembang apabila gerai itu berpindah pada tahun 1982, bersama dengan seluruh pasar, ke seberang jalan ke Pusat Tekka yang ada sekarang ini. Memandangkan pelanggan S I Samy kebanyakannya beragama Hindu dan Islam, perniagaan itu mengelak daripada menjual daging lembu atau babi untuk menghormati keperluan pemakanan pelanggannya.

Pada tahun 1983, S I Samy telah didaftarkan sebagai S I Samy Trading Company Pte Ltd sedang ia berkembang ke pasaran borong mengedarkan daging kambing ke pasar basah, restoran dan katerer lain. Syarikat itu juga mempelbagaikan bekalan daging kambingnya dan import tiba dari Australia, New Zealand, Amerika Syarikat dan Brazil melalui pengangkutan kapal dan udara.

Pada tahun 2018, jenama S I Samy menjalani pembaharuan menjadi SIS Premium Meats. Hari ini, perniagaan milik keluarga ini diuruskan oleh anak perempuan Sinnasamy, Cik Joyce Kingsly. Semasa kecil, Joyce sering menemani bapanya di gerai pasar dan memerhatikan bapanya bergaul dengan pelanggan. Apabila Joyce mengambil alih perniagaan pada tahun 1995, beliau meluaskan jenis produk untuk merangkumi ayam dan makanan laut, serta menawarkan lebih banyak perkhidmatan termasuk penghantaran ke rumah.

Dari Gerai Jalan ke Empayar Tekstil: Haniffa Textiles

Terkenal dengan koleksi besar sari yang serba rumit tenunannya, tidak ramai yang tahu bahawa Haniffa Textiles mula beroperasi sebagai gerai kecil di tepi jalan di Campbell Lane. Perniagaan tekstil itu diasaskan oleh O. K. Mohammed Haniffa, yang datang ke Singapura pada tahun 1957 dan melakukan pelbagai kerja rencam, sebelum memulakan perniagaan tekstilnya sendiri. Dalam tempoh sedekad, perniagaan itu berpindah dari kaki lima ke unit rumah kedai, sebelum akhirnya menduduki sebuah bangunan di jalan yang sama.

Pada mulanya, Haniffa menjual sari nylex buatan Jepun yang lebih ringan dan popular untuk kegunaan harian. Beliau juga menubuhkan perkongsian dengan beberapa pengeluar sari utama Jepun dan menjadi pengedar tunggal mereka di Singapura dan India. Namun, apabila cita rasa, kegemaran dan tabiat berbelanja wanita India Singapura berubah, ramai yang memilih sari pattu (sutera) untuk majlis-majlis perayaan. Haniffa menangani trend ini dengan menjalin hubungan dengan para pengedar di seluruh India untuk memenuhi permintaan pengguna yang semakin meningkat.

Sepanjang beberapa dekad, Haniffa Textiles mempelbagaikan dan mengembangkan perniagaannya untuk memenuhi keperluan pelanggan. Ia memperoleh unit-unit di Serangoon Road dan Dunlop Street, dan menjual pakaian lelaki, bekalan makanan kering dan peralatan dapur untuk memenuhi pasaran domestik, serta beg bagasi dan barangan hadiah untuk mereka yang pergi melancong atau pulang ke Asia Selatan.

Hari ini, Haniffa Textiles mempunyai cawangan di Malaysia dan pejabat di India yang dikendalikan oleh generasi kedua keluarga Haniffa, termasuk anak lelaki pengasasnya, Abdul Samad Haniffa, dan anak perempuan, Razinah Begum Haniffa. Sedang syarikat itu terus maju, nama Haniffa kekal harum dan menjadi sinonim dengan sari bermutu untuk kebanyakan keluarga India di Singapura.

Tradisi Vegetarian Seabad Lamanya: Ananda Bhavan

Ananda Bhavan adalah salah satu restoran vegetarian India tertua di Singapura. Restoran itu diasaskan oleh Kulanthaivelu Muthusamy Kaunder, yang, bersama adik-beradik lelakinya, menubuhkan kedai makan itu apabila mereka datang ke Singapura pada tahun 1920-an.

Pada tahun-tahun awal, Kulanthaivelu dan keluarganya tinggal di tingkat dua di atas restoran, dan para anggota keluarganya menjalankan pelbagai tugas seperti membersihkan meja dan mengendalikan akaun. Sejak penubuhannya, Ananda Bhavan sentiasa menghidangkan masakan vegetarian yang lazat-lazat belaka, bermula dengan nasi yang dicedok pada daun pisang dan disertakan dengan sayur-sayuran sebagai hidangan sampingan, yang menjadikannya hidangan yang mampu dinikmati oleh para buruh kasar pada dekad-dekad awal.

Pada tahun 1950-60an selepas kematian Kulanthaivelu, abang iparnya Ramasamy mengambil alih restoran itu sebelum menyerahkan segala urusan perniagaan kepada isteri Kulanthaivelu, Cik Kaliammal. Restoran itu kemudian berada di bawah pengurusan anak lelaki Kulanthaivelu, M. K. Ramachandra dan K. Nadarajan, yang memperkenalkan automasi di dapur untuk meningkatkan daya penghasilan. Di bawah pengurusan mereka, restoran itu adalah antara yang pertama di Little India yang memperkenalkan model tempahan layan diri, di mana pelanggan memesan makanan di kaunter juruwang.

Hari ini, Ananda Bhavan diuruskan oleh cucu Kulanthaivelu yang bernama Viren Ettikan, yang mengambil alih pada tahun 2011. Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, Ananda Bhavan membuka lebih banyak kedai dan memperkenalkan hidangan mesra Jain dan vegan, serta masakan fusion (gabungan) yang asli. Walaupun Ananda Bhavan cepat menerima teknologi dan inovasi, ia tetap berakar pada tradisinya dengan menyajikan makanan vegetarian yang berkualiti kepada para pelanggan.

Nama Sebutan Ramai bagi Barangan Keperluan Tradisional: Kedai dan Kedai Bunga Jothi (Jothi Store and Flower Shop)

Sering digambarkan sebagai kedai sehenti untuk apa-apa sahaja yang berkaitan dengan budaya dan tradisi India, Jothi Store and Flower Shop adalah nama yang tidak asing lagi bagi masyarakat India di Singapura. Kedai itu ditubuhkan pada tahun 1960 sebagai ottukadai (kedai lubang di dinding) oleh bekas penggubah dan pustakawan, Murugaia Ramachandra. Dinamakan sempena anak perempuan pengasasnya, kedai itu bermula dengan menjual pelbagai barangan runcit dan keperluan harian kepada golongan buruh India yang tinggal di Little India.

Memandangkan kedai itu berdekatan dengan kuil-kuil Hindu di Serangoon Road, Ramachandra menyedari terdapat permintaan untuk kalungan bunga yang digunakan dalam persembahan keagamaan. Oleh itu, seorang rakan keluarga diambil untuk membuat kalungan bunga, dan dengan bantuan abangnya, Ramachandra berusaha memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk bunga dan peralatan agama, serta untuk keperluan domestik.

Lama-kelamaan, nama Jothi Store and Flower Shop mendapat reputasi sebagai tempat untuk mendapatkan pelbagai barangan yang digunakan dalam upacara dan ritual agama India. Kedai itu juga menyelaraskan penyediaan pelbagai jenis barangan untuk ibadah dan hiasan mengikut kalendar perayaan keagamaan dan kebudayaan yang diamalkan oleh masyarakat India tempatan. Selain itu, Jothi Store giat memperoleh produk baharu untuk mengembangkan rangkaian barangan harian yang diperlukan oleh masyarakat India.

Pada tahun 1981, Jothi Store and Flower Shop berpindah ke sebahagian daripada lokasinya sekarang di 1 Campbell Lane, sebelum berkembang dan akhirnya menduduki keseluruhan bangunan itu menjelang tahun 1992. Hari ini, kedai itu diuruskan oleh anak lelaki Ramachandra, Rajakumar Chandra, yang terus melayan sendiri para pelanggan yang berpusu-pusu datang mengunjungi emporium lima tingkat yang sibuk ini di Little India.

Terus Berperisa: Thandapani Co Pte Ltd

Daripada kunyit dan buah pala kepada sadhakuppai (sejenis biji jintan) dan sajeera (biji jintan), rempah-ratus adalah bahan yang biasa digunakan untuk menambah kelazatan masakan Asia. Sejak tahun 1960-an, Thandapani Co telah menyediakan pelbagai jenis rempah, termasuk yang jarang ditemui di pasar raya tempatan, serta campuran khas buatan sendiri untuk hidangan India yang popular.

Thandapani Co diasaskan oleh Sanmugam, yang datang ke Singapura pada tahun 1946 dan bekerja di kedai bapa saudaranya di Little India, sebelum memulakan perniagaan rempah-ratus di Little India Arcade pada tahun 1960-an. Dinamakan sempena dewa Hindu kegemaran Sanmugam, Thandapani Co menumpukan pada penjualan rempah-ratus sehingga tahun 1970-an, apabila ia berpindah ke Campbell Lane dan membeli Valli Flour Mills. Ini membolehkan Sanmugam menawarkan pengisaran rempah dan adunan rempah berdasarkan resipinya sendiri, dan resipi-resipinya kekal popular dengan restoran dan tukang masak di rumah di Little India.

Selama bertahun-tahun, pangkalan pelanggan Thandapani Co telah berkembang sehingga merangkumi restoran Cina dan keluarga Melayu, kerana rempah-ratus digunakan secara meluas dalam pelbagai jenis masakan bermutu Asia. Perniagaan ini juga membekalkan rempah-ratus kepada kuil Hindu dan Buddha, gurdwara (kuil) Sikh, masjid dan rumah kebajikan, yang sering menyediakan makanan untuk masyarakat yang kurang bernasib baik.

Hari ini, Thandapani Co diuruskan oleh keturunan generasi kedua keluarga Sanmugam, dan mereka telah mengekalkan rupa dan rasa tradisional kedai dan terus menawarkan rempah-ratus yang berkualiti kepada pelbagai komuniti di Little India dan lain-lain.

Legasi Makanan Keluarga: Komala Vilas

komala vilas with exhibit

Diasaskan pada tahun 1947, generasi demi generasi pelanggan telah berduyun-duyun datang ke Komala Vilas untuk menikmati makanan vegetarian India sajiannya. Restoran ini ditubuhkan oleh Murugiah Rajoo, yang bekerja di Sri Karuna Vilas, bekas restoran yang terletak di unit ini. Apabila para pemiliknya memutuskan untuk kembali ke India selepas Perang Dunia Kedua, Murugiah membeli perniagaan itu dan menamakan semula restoran itu sebagai penghormatan kepada isteri majikannya.

Beroperasi sebagai perniagaan keluarga, anggota keluarga Murugiah memikul pelbagai peranan untuk memastikan restoran itu berjalan lancar. Dikenali sebagai "leftenan", abangnya Sinnakannu meneruskan perniagaan itu, manakala anak-anak dan cucu-cucu Murugiah mempelajari perniagaan itu dengan bekerja di restoran sejak kecil lagi. Lebih ramai kakitangan diambil apabila perniagaan berkembang, dan Komala Vilas dikenali sebagai antara kedai makan pertama di Little India yang menggajikan wanita bagi jawatan yang memerlukan mereka berdepan dengan pelanggan sebagai juruwang.

Pada tahun 1950-an, Komala Vilas mengambil alih unit dua tingkat yang berdekatan di 78 Serangoon Road, dan pada tahun 1970-an, ia menjadi restoran pertama di Little India yang menawarkan ruang makan berhawa dingin di tingkat dua. Restoran ini juga mempelbagaikan menu India Selatan dan pada tahun 1970-an, memperkenalkan bhatura (hidangan Punjabi) buat kali pertama.

Mulai tahun 1990-an, Komala Vilas dipimpin anak lelaki pengasasnya, Rajoo Gunasekaran, sehingga tahun 2015, apabila cucu Murugiah, Rajakumar Gunasekaran, mengambil alih teraju. Sejak itu, pemilik generasi ketiga itu telah memperkenalkan hidangan kegemaran vegetarian India Utara dalam menu Komala Vilas, dan memulakan Fennel, sebuah restoran vegetarian India yang moden di 413 River Valley Road.

Tukang Emas Bagi Pengantin dan Ahli Perniagaan: Ani Mani

Ani Mani, yang bermaksud "menghiasi dengan permata" dalam bahasa Tamil, telah menghiasi pelanggannya dengan perhiasan tradisional India, barang kemas emas dan permata sejak tahun 1948. Pengasas Rathnavelu dan adik-beradik lelakinya menubuhkan porchalai (kedai barang kemas) kerana mereka melihat potensi dalam perdagangan emas di Little India. Bagi para pelanggannya, Ani Mani adalah tukang emas yang popular untuk barang kemas tradisional seperti thali (loket perkahwinan).

Pelanggan Ani Mani membeli barang kemas emas atas pelbagai sebab, seperti untuk pelaburan, untuk kegunaan dalam upacara keagamaan dan/atau sebagai pusaka keluarga. Bagi masyarakat India, amalan membeli emas semasa perayaan musim bunga Akshaya Tritiya semakin popular kerana ia dipercayai hari bertuah yang akan membawa lebih banyak kekayaan dan kemakmuran.

Sejak penubuhannya, Ani Mani terkenal dengan membuat thali, perhiasan simbolik yang dipakai oleh pengantin perempuan untuk meraikan perkahwinannya. Mengikut tradisi Asia Selatan, setiap thali disesuaikan mengikut keperluan serantau dan agama sesebuah keluarga secara khusus. Menempah thali dianggap sangat penting hinggakan sesuatu keluarga biasanya merujuk kepada almanak untuk menelaah tarikh dan masa yang afdal untuk memesan dan mengambil thali. Ani Mani juga secara rutin mengadakan sesi doa di mazbah dalam kedai mereka apabila keluarga Hindu datang untuk mengambil thali yang ditempah.

Selain barang kemas emas, Ani Mani juga merupakan pembekal batu permata, yang menurut adat dipakai di kalangan orang Asia Selatan untuk mendapat tuah dalam perniagaan dan kehidupan. Pakar permata yang bekerja untuk Ani Mani memadankan pelanggan mereka dengan batu permata yang sesuai berdasarkan carta kelahiran mereka, kerana setiap permata dipercayai sepadan dengan salah satu daripada sembilan entiti kosmik menurut astrologi Veda. Hari ini, Ani Mani diuruskan oleh keturunan generasi ketiga keluarga Rathnavelu, yang terus menghasilkan barang kemas tersuai yang mempunyai kepentingan peribadi bagi pelanggan mereka.

Makanan Istimewa Di Daun: The Banana Leaf Apolo

Seperti namanya, The Banana Leaf Apolo terkenal kerana menjunjung tradisi India Selatan menghidangkan makanan di atas daun pisang sejak penubuhannya pada tahun 1974. Pengasas restoran itu, S. Chellappan, belajar memasak daripada bapanya, yang merupakan seorang cef untuk ahli perniagaan dan dermawan P. Govindasamy Pillai. Lantaran ingin mengamalkan kemahiran masakannya, Chellappan menceburkan diri dalam perniagaan makanan dengan membuka sebuah gerai tosai kecil, sebelum menubuhkan restorannya sendiri di 24 Cuff Road.

Sejak penubuhannya, The Banana Leaf Apolo terkenal dengan sajian kari kepala ikan, satu hidangan buatan tempatan yang semakin popular di kalangan pengunjung. Menggunakan resipi yang tidak didedahkan kepada sesiapa, terdiri daripada campuran rahsia rempah dan nanas, hidangan kari buah-buahan dan berperisa itu dengan cepat menjadi hidangan tersendiri untuk restoran tersebut dan menarik pelanggan tempatan dan antarabangsa.

The Banana Leaf Apolo berpindah ke Race Course Road pada tahun 1983, dan sejajar dengan kemasyhurannya yang semakin meningkat, dengan cepat berkembang daripada restoran satu unit kepada restoran yang merangkumi tiga unit. Restoran itu juga menambah hidangan dalam menu dan memperkenalkan hidangan India Utara. Dengan kejayaannya itu, ia membuka satu lagi cawangan di Little India Arcade, dan tiga lagi pada tahun 2020 di Sixth Avenue, Rivervale Mall dan Downtown East.

Hari ini, The Banana Leaf Apolo berada di bawah pengurusan anak lelaki Chellappan, C. Sankaranathan, yang bersama isterinya S. Rajeswari, juga menyelia Apollo Sellappas, gedung membeli-belah serbaneka yang diasaskan oleh keluarga itu pada tahun 2008. Walaupun rangkaian kedai makannya terus berkembang, perniagaan makanannya kekal diuruskan oleh keluarga, dengan Rajeswari secara peribadi memeriksa mutu campuran masala di restoran, dan anak mereka, S. Nirmal Raj, menyelia cawangan-cawangan terbaharu.

 
close button
hhlogo