Galeri Warisan Sudut Jalan: Chinatown

img-fluid

Mengenai skim Galeri Warisan Sudut Jalan

Skim Galeri Warisan Sudut Jalan adalah usaha kolaborasi antara muzium NHB, institusi warisan dan galeri komuniti serta pemilik kedai tempatan di kawasan masing-masing untuk memperkukuhkan perkongsian dengan komuniti dan meningkatkan kesedaran dan memupuk penghargaan yang lebih mendalam terhadap warisan di ruang sehari-hari.

Skim ini membolehkan NHB bekerjasama dengan pemilik kedai tempatan dengan sejarah sekurang-kurangnya 30 tahun di kawasan terpilih untuk bersama-sama membuat "muzium mini" yang memaparkan sejarah dan warisan perniagaan dan perdagangan masing-masing. Galeri yang terletak di kedai-kedai ini akan memaparkan dokumen sejarah, gambar dan artefak yang menceritakan kisah- kisah mereka.

Selain menyediakan dana, sokongan kuratorial dan bantuan dalam membuat pameran, NHB juga akan bekerjasama dengan pemilik kedai tempatan untuk mengembangkan program seperti ceramah, lawatan dan bengkel, dan memberi peluang untuk mengambil bahagian dalam acara penting NHB seperti Pesta Warisan Singapura dan Pesta Budaya oleh institusi warisan masing-masing di kawasan mereka.

Penjagaan Perubatan untuk Semua Manusia: Eu Yan Sang

Kisah Eu Yan Sang bermula pada tahun 1873 apabila Eu Kong, seorang pendatang dari Guangdong, China, tiba di Perak, Tanah Melayu.  Beliau membuat pemerhatian bahawa golongan pekerja lombong bijih timah sering menggunakan candu untuk mengurangkan kesakitan mereka.

Dengan keyakinan bahawa perubatan tradisional Cina boleh memberikan pengurusan kesakitan dan rawatan penyakit yang lebih baik, Eu membuka dewan perubatan di Gopeng pada tahun 1879, dengan menamakannya sebagai "Yan Sang", yang bermaksud "menjaga semua manusia" dalam bahasa Kantonis.

Apabila Eu Kong meninggal dunia, anak lelakinya, Eu Tong Sen, mengambil alih perniagaan pada usia 21 tahun. Berbekalkan kepintaran berniaga yang mendalam, Tong Sen mengembangkan perniagaan keluarganya daripada perubatan tradisional kepada perlombongan bijih timah, perladangan getah dan pembangunan hartanah. Berazam untuk membebaskan pelombong bijih timah daripada ketagihan candu mereka, beliau menubuhkan dewan perubatan berhampiran lombong bijih timahnya untuk menyediakan rawatan perubatan kepada golongan pelombong.

Menjelang tahun 1910-an, perniagaan perubatan tradisional Cina keluarga itu, yang dijenamakan semula sebagai "Eu Yan Sang", telah berkembang ke Singapura, Hong Kong dan selatan China. Dewan perubatan Eu Yan Sang pertama di Singapura dibuka di alamat 265-271 South Bridge Road pada tahun 1910. Selain menyediakan penjagaan kesihatan dan bekalan perubatan dengan harga yang berpatutan, dewan perubatan Eu Yan Sang juga menyediakan perkhidmatan pengiriman wang dan pembantu kedainya akan membantu para pendatang yang buta huruf membaca dan menulis surat.

Hari ini, Eu Yan Sang meneruskan misi pengasasnya untuk menjaga semua manusia melalui perubatan tradisional, dan mengendalikan lebih 200 cawangan dan klinik di rantau ini.

Rasa Tradisional Bak Kwa: Lim Chee Guan

Terkenal dengan orang ramai beratur panjang semasa musim perayaan, Lim Chee Guan ditubuhkan oleh Lim Kay Eng yang tiba dari Fujian, China pada tahun 1920-an. Dengan tidak menuruti hasrat ibu bapanya untuk menjadi seorang doktor, Lim bekerja keras di ladang dan kedai sebelum menyimpan wang yang cukup untuk memulakan perniagaan kereta sorong menjual bak kwa (hirisan daging barbeku) di sepanjang Chin Chew Road pada tahun 1938.

Lim menamakan perniagaan itu "Chee Guan" yang diterjemahkan sebagai "cita-cita dan kewibawaan" dalam bahasa Mandarin. Beliau membuat bak kwa menggunakan resipi neneknya dan mengubah suai perapan daging itu mengikut cita rasa tempatan. Lim turut berujikaji dalam proses penyediaan, seperti mengeringkan daging di bawah sinar matahari dan membakarnya di atas arang untuk memberikan rasa berasap yang tersendiri.

Pada tahun 1956, Lim berpindah ke rumah kedai yang disewa di sepanjang New Bridge Road di mana separuh daripada kedai itu digunakan untuk pengeluaran bak kwa dan yang separuh lagi untuk jualan runcit. Lim dan keluarganya kemudian menghabiskan sebahagian besar masa lapang mereka di kedai itu dan tradisi keluarga yang membantu dalam perniagaan ini masih diamalkan oleh generasi kedua dan ketiga keluarga Lim, yang menjalankan perniagaan itu sekarang.

Sehingga hari ini, jenama Lim Chee Guan berada dekat di hati para pelanggan lamanya, yang ramai daripada mereka tidak kisah beratur panjang malah menganggap beratur untuk membeli bak kwa di kedai itu sebagai tradisi Tahun Baru Cina.

Daripada Barang Kemas Perak kepada Barang Kemas Peranakan: Tukang Emas Kim Poh Hong

Selama lebih 80 tahun, Tukang Emas Kim Poh Hong telah membuat dan menjual barang kemas kepada generasi demi generasi pelanggan. Perniagaan ini diasaskan di 58 China Street pada tahun 1938 oleh Tan Eng Geok, seorang tukang perak yang datang ke Singapura dari Kinmen, China.

Semasa tahun awalnya, Kim Poh Hong menjual barang kemas perak daripada pemborong tempatan, serta barangan buatan tangan oleh Tan. Para pelanggannya, yang kebanyakannya masyarakat Hokkien, akan sering datang ke kedai itu untuk membeli barangan istimewa seperti pemegang azimat perak untuk bayi baru lahir dan barang kemas pengebumian untuk si mati. Kedai itu juga menjual barang kemas emas, terutamanya kepingan emas kemerah-merahan yang menjadi pilihan pelanggan Hokkien.

Pada tahun 1943, Tan menubuhkan kedai emas Poh Huat di North Bridge Road bersama rakan-rakan dan menjelang 1950-an, kedua-dua kedai itu telah terkenal dengan mutu kerja dan barang kemas yang dibuat khas. Poh Huat lebih kerap dikunjungi pelanggan Melayu, India dan Nyonya berdasarkan komposisi masyarakat di kawasan itu.

Pada tahun 1971, keluarga Tan membeli Poh Huat apabila para pengasasnya bersara, dan kemudian menggabungkannya dengan Kim Poh Hong. Apabila China Street menjalani pembangunan semula pada tahun 1990-an, Kim Poh Hong berpindah dan akhirnya menetap di Pickering Street pada tahun 2002.

Hari ini, Kim Poh Hong dikendalikan oleh generasi ketiga keluarga Tan dan terkenal dalam bentuk barang kemas enamel dan Peranakan.

Masakan Kantonis untuk Selera Tempatan: Restoran Spring Court

Salah satu restoran tertua di Singapura, Spring Court telah ditubuhkan di Great World Amusement Park pada tahun 1929 oleh Ho Loke Yee, bekas pemandu lori yang bertukar menjadi pengusaha restoran.

Pada asalnya dinamakan Wing Choon Yuen (menyanyi di taman musim bunga dalam bahasa Kantonis), restoran ini terkenal dengan hidangan Kantonis tempatan yang menggabungkan bahan-bahan daripada masakan Melayu, India, Hokkien dan Teochew, seperti cili dan serbuk kari, serta menampilkan perisa yang lebih kuat berbanding masakan tradisional Kantonis.

Sepanjang tahun 1930-an hingga 1960-an, Wing Choon Yuen adalah tempat di mana golongan elit, orang kenamaan, persatuan dan pengantin baru berduyun-duyun datang untuk menganjurkan majlis perayaan. Dengan kapasiti 100 meja, restoran itu sering menganjurkan tiga atau empat jamuan perkahwinan dalam satu malam. Malah, perniagaan begitu rancak sehingga Ho sering terpaksa tidur di restoran di atas katil yang diperbuat daripada meja makan.

Walau bagaimanapun, menjelang tahun 1970-an, perniagaan merosot apabila bilangan pengunjung ke Great World semakin berkurangan. Wing Choon Yuen kemudian berpindah ke New Bridge Road pada tahun 1978, memberi nama baru, “Spring Court", sambil mengekalkan nama Cinanya, sebelum menduduki Upper Cross Street pada tahun 2004.

Bagi kebanyakan keluarga Cina Singapura, menyambut Tahun Baru Cina di Spring Court telah menjadi tradisi tahunan. Hari ini, restoran itu dikendalikan oleh generasi ketiga keluarga Ho yang kekal komited untuk memelihara warisan makanan Cina tempatan dan menawarkan tafsiran masakan Kantonis Singapura kepada generasi muda.

Daripada Kedai Teh Tradisional kepada Pastri Lazat: Tong Heng

Diiktiraf hari ini kerana tart telurnya yang berbentuk berlian, Tong Heng bermula sebagai perniagaan pra-perang yang dikenali sebagai Huang Hou Teahouse.

Pengasasnya, Fong Chee Heng, yang tiba pada tahun 1910-an dari Guangdong, China, bermula sebagai penjaja jalanan yang menjaja minuman di pelbagai kedai teh. Dengan wang simpanan terkumpul selama bertahun-tahun, Fong membeli kedai teh di Smith Street pada tahun 1934, yang kemudian dinamakan semula sebagai "Tong Heng".

Kedai teh seperti Tong Heng merupakan asas budaya Kantonis di Chinatown di mana para pelanggannya akan bertemu  untuk minum teh, menikmati kuih-muih dan bersembang. Terletak di seberang teater opera Lai Chun Yuen, Tong Heng juga merupakan tempat peminat membeli makanan manis untuk bintang kegemaran mereka.

Selepas Perang Dunia Kedua apabila banyak kedai teh Chinatown berubah menjadi rumah makan, Tong Heng bertahan dengan membuat kuih-muih. Pada tahun 1960-an, keluarga itu memasang perabot yang memaparkan tart telur yang dibakar dalam pelbagai bentuk untuk menarik lebih ramai pelanggan. Strategi ini ternyata sangat berjaya, dan Tong Heng menjadi terkenal sebagai kedai konfeksi yang menawarkan tart telur dan pastri perkahwinan tradisional Kantonis.

Tong Heng terpaksa meninggalkan pekarangannya di Smith Street pada 1980-an kerana pembangunan semula kawasan itu dan berpindah ke lokasinya sekarang ini, di South Bridge Road. Hari ini, Tong Heng dikendalikan oleh keturunan generasi keempat dan terus kekal sebagai ikon Chinatown.

Daging Barbeku yang Cantik dan Beraroma: Bee Cheng Hiang

Bee Cheng Hiang bermula pada tahun 1930-an sebagai gerai tepi jalan yang menjual bak kwa (hirisan daging barbeku) berhampiran bekas Majestic Theatre di Chinatown. Perniagaan ini diasaskan oleh Teo Swee Ee, yang kemudian membuka kedai pertamanya di Rochor Road.

Keluarga itu menamakan perniagaan tersebut "Bee Cheng Hiang" dan setiap huruf Cina dalam namanya terdiri daripada sembilan strok untuk menandakan umur panjang dalam budaya Cina. Ia juga melambangkan pengalaman Bee Cheng Hiang, di mana bak kwa disebut-sebut sebagai "makanan beraroma yang cantik".

Teo adalah seorang ahli perniagaan yang bijak dengan naluri pemasaran yang kuat. Dari tahun 1950-an, Bee Cheng Hiang, ketika itu dieja sebagai "Bee Chun Heng", kerap mengeluarkan iklan, menaja program radio dan mengambil bahagian dalam pameran perdagangan.

Menjelang tahun 1970-an, Bee Cheng Hiang telah berkembang dan menubuhkan beberapa cawangan di kawasan bandar. Cawangan di New Bridge Road dengan cepat menjadi ikon di Chinatown di mana orang ramai akan beratur panjang di sekeliling blok semasa musim perayaan.

Walaupun Bee Cheng Hiang telah berkembang menjadi sebuah syarikat berbilang negara, ia terus menggunakan kaedah pengeluaran tradisional seberapa boleh, seperti menggunakan tangan untuk meletakkan hirisan daging pada dulang buluh. Penekanan pada tradisi inilah yang menjelaskan mengapa pelanggan lama kembali lagi – untuk menikmati bak kwa yang terus mengekalkan rasa yang mereka nikmati sejak kecil lagi.

Ikon Teh Bermutu: Pek Sin Choon

Salah satu perniagaan teh tertua di Singapura, Pek Sin Choon, diasaskan pada tahun 1925 oleh Bai-Zhuang Dan Niang dan anaknya, Pek Kim Aw.

Bai-Zhuang berpindah ke Singapura pada tahun 1910 dari Anxi, China selepas kematian bapa Pek supaya Pek boleh menjadi perantis di kedai teh bapa saudaranya di sini dan belajar tentang perdagangan. Pek meninggalkan kedai bapa saudaranya selepas mendapat sedikit pengalaman untuk bekerja di Indonesia sebagai buruh, sebelum kembali ke Singapura untuk membuka perniagaan tehnya sendiri.

Untuk membina rangkaian pelanggannya sendiri, Pek akan membawa teh di atas palang bahu dari pintu ke pintu, menjualnya kepada peniaga dan penduduk di kawasan bandar. Menjelang 1925, Pek mempunyai wang simpanan yang cukup untuk menubuhkan kedainya sendiri di George Street. Beliau memilih kerbau sebagai maskot jenama tersebut kerana beliau digelar "Kepala Kerbau" oleh rakan-rakannya kerana sikapnya yang keras kepala. Lama-kelamaan Pek Sin Choon membina reputasi bagi campuran teh bermutunya.

Memandangkan teh bermutu menjadi ciri istimewa Pek Sin Choon, Pek menerapkan budaya di mana setiap ahli keluarga dan kakitangan mesti memperoleh ilmu mendalam mengenai penyediaan dan pembuatan teh.

Dikendalikan oleh generasi keempat sekarang ini, Pek Sin Choon terus dikenali sebagai pemborong dan peruncit terkemuka teh Cina premium, dan menjadi buruan pelanggan yang mencari adunan teh yang ditempah.

Nama Yang Dikenali Umum untuk Emas Bermutu: Tukang Emas Tin Sing

Ditubuhkan pada tahun 1937 oleh keluarga Wong, Wan dan Chow, Tin Sing ialah kedai emas pra-perang terakhir yang terletak di sepanjang South Bridge Road.

Sehingga tahun 1970-an, emas dianggap sebagai wadah simpanan tradisional dan tukang emas seperti Tin Sing sering melihat pelanggan beratur untuk membeli emas pada hari gaji. Tin Sing amat popular kerana ia menjamin pembelian balik barang kemasnya sedang tidak ramai tukang emas menawarkan jaminan sedemikian.

Terkenal dengan mutu emas dan ketukangannya, Tin Sing menggajikan kira-kira 20 tukang mahir pada musim kemuncaknya dari tahun 1950-an hingga 1970-an. Tertarik dengan ketukangan Tin Sing, pelanggan seperti ahli politik, isteri hartawan, ratu cantik dan selebriti antarabangsa termasuk Fung Bo-bo, Jenny Tseng dan Li Li-hua kerap mengunjungi kedainya.

Tin Sing juga merupakan tukang emas yang dicari untuk kerja tempahan, yang sering menjadi liputan berita. Contohnya, pingat emas yang menggambarkan dua ekor burung layang-layang kembali ke sarang, dihadiahkan oleh peminat pada tahun 1952 kepada bintang opera Kantonis Hong Kong Sek Yin-Tsi; dan pingat emas yang ditempah oleh Dewan Perniagaan dan Perusahaan Cina Singapura, disampaikan sebagai tanda penghargaan kepada Perdana Menteri ketika itu, Encik Lee Kuan Yew, pada upacara pembukaan rasmi bangunan dewan itu pada tahun 1964.

Diuruskan oleh generasi kedua keluarga pengasas sekarang ini, Tin Sing kekal sebagai tukang emas tempatan yang dipercayai dan terus melayani pelanggan lama yang kembali membeli barang kemas untuk majlis khas atau reka bentuk tempahan tertentu.

Minyak dan Balsam Ubat yang Dipercayai: Chop Wah On

Diasaskan oleh Tong Chee Leong pada tahun 1916 di alamat 67 Pagoda Street, Chop Wah On ialah salah satu syarikat minyak dan balsam ubat tertua di Singapura.

Dikenali sebagai produk bermutu tetapi dijual pada harga yang berpatutan, Chop Wah On merupakan tempat persinggahan popular bagi kuli Cina dan wanita samsui yang kembali ke China untuk membeli hadiah, khususnya Red Flower Oil (‘Minyak Bunga Merah’). Anak lelaki sulung Tong, Tong Seng Mun, mengambil alih perniagaan pada tahun 1940-an dan terus mengekalkan harga murah untuk pelanggan kelas pekerjanya.

Kedai itu bukan sahaja melayani pelanggan tempatan, malah juga pelanggan dari China, di mana Chop Wah On telah membina reputasi yang kukuh hasil daripada generasi pendatang yang balik ke tanah air dengan membawa pulang produknya sebagai hadiah untuk keluarga dan rakan.

Selaku peminat haiwan, Tong mengendalikan perdagangan haiwan eksotik dari belakang rumah kedai Pagoda Street sehingga tahun 1960-an, membekalkan haiwan kepada institut penyelidikan dan zoo di luar negara. Keluarga itu turut mengimbau kedatangan Sultan Ismail dari Johor, seorang rakan Tong dan rakan peminat haiwan, yang mengunjungi rumah kedai itu untuk melihat haiwan di situ beberapa kali. Pada tahun 1957, Tong juga membuka zoo di Pasir Panjang, lengkap dengan seekor singa laut dari Belanda.

Chop Wah On berpindah ke Upper Cross Street pada tahun 2000 dan kini dikendalikan oleh generasi ketiga keluarga Tong yang terus berkembang berdasarkan kepercayaan dan kesetiaan daripada generasi pelanggan yang mempercayai kemujaraban ubat-ubatannya.

Daripada Barang Kemas Tradisional kepada Barang Kemas Halus: Mengenai Cheong Jewellery Barang Kemas On Cheong

Terkenal dengan ketukangan dan reka bentuk barang kemas yang unik, On Cheong diasaskan pada 1936 oleh Ho Yew Ping yang berhijrah dari Guangdong, China pada 1925 dan menjadi perantis di pelbagai tukang emas di Malaya sebelum berpindah ke Singapura.

Ho menubuhkan kedai pertamanya bersama rakan di North Bridge Road menjual aksesori perak dan emas, dan menamakan perniagaan itu On Cheong yang diterjemahkan kepada keamanan dan kemakmuran dalam bahasa Kantonis, yang mencerminkan keinginan pendatang pada masa yang tidak menentu itu.

Pada tahun 1941, Ho memindahkan On Cheong ke alamat 251 South Bridge Road kerana beliau berharap kepadatan penduduk Chinatown yang lebih tinggi akan menghasilkan lebih ramai pelanggan dan, sebagai orang Kantonis sendiri, berpendapat adalah lebih mudah menjalankan perniagaan dengan pelanggan yang kebanyakannya Kantonis.

Sehingga tahun 1990-an, On Cheong adalah tukang emas yang dipercayai oleh para pelanggan yang membeli emas untuk dijadikan  simpanan. Walau bagaimanapun, apabila lebih ramai rakyat Singapura mula membeli barang kemas untuk kegunaan peribadi, Ho Nai Chuen, anak bongsu pengasas, memutuskan untuk memodenkan jenama itu, dan mula mengkhususkan syarikat dalam penghasilan kepingan jed yang jarang didapati dan reka bentuk barang kemas yang ditempah.

Kini sebagai pembekal barang kemas halus, On Cheong telah berjaya beralih kepada menawarkan reka bentuk barang kemas yang unik dan karya agung yang direka oleh pakar kepada para pelanggannya yang amat berpuas hati.

Daripada Kacang Tanah kepada Pencuci Mulut Tradisional: Mei Heong Yuen

Terkenal dengan pencuci mulut tradisionalnya hari ini, tidak ramai yang mungkin menyedari bahawa Mei Heong Yuen (“taman wangi” dalam bahasa Kantonis) mula beroperasi sebagai pengeluar kacang tanah panggang.

Perniagaan itu diasaskan oleh Lee Chit Heng, yang bekerja dalam industri kacang panggang di Menglembu, Ipoh, sebelum berpindah ke Singapura pada 1940-an. Lee menubuhkan Mei Heong Yuen, yang menjual kacang Menglembu di Pagoda Street sebelum berpindah ke alamat 39 Temple Street.

Dipasarkan di bawah nama Farmer Brand, Mei Heong Yuen membekalkan kacang tanah kepada peruncit dan restoran tempatan, manakala kacang tanah yang baru dipanggang dijual mengikut berat di Temple Street. Menjelang 1970-an, kacang tanahnya telah dieksport ke rantau ini, Hong Kong, Eropah dan Amerika Syarikat. Walaupun eksport terus berkembang pada tahun 1990-an, perniagaan di Temple Street menghadapi persaingan sengit dengan pengenalan lebih banyak makanan ringan baru di pasaran.

Dalam usaha mempelbagaikan perniagaan dan mengekalkan keterampilan Mei Heong Yuen di Chinatown, anak perempuan Lee, Clara dan Connie, menghasilkan idea untuk menjual pencuci mulut tradisional Kantonis di kedai keluarga mereka di 67 Temple Street.

Usaha itu terbukti berjaya dan Mei Heong Yuen telah berkembang ke beberapa cawangan di seluruh pulau, dan sebagai tanda hormat kepada warisan mereka, kacang tanah di bawah jenama Farmer Brand terus dijual di beberapa kedai pencuci mulut mereka hari ini.

 
close button
hhlogo