Mengenai skim Galeri Warisan Sudut Jalan
Skim Galeri Warisan Sudut Jalan adalah usaha kolaborasi antara NHB dan pemilik kedai tempatan untuk memperkukuhkan perkongsian dengan masyarakat dan meningkatkan kesedaran serta memupuk penghargaan yang lebih mendalam terhadap warisan di ruang sehari-hari.
Skim ini membolehkan NHB bekerjasama dengan pemilik kedai tempatan dengan sejarah sekurang-kurangnya 30 tahun di kawasan terpilih untuk bersama-sama mencipta "muzium mini" yang memaparkan sejarah dan warisan perniagaan serta perdagangan masing-masing. Galeri yang terletak di kedai-kedai ini akan memaparkan dokumen sejarah, gambar dan artefak yang menceritakan kisah mereka.
Selain menyediakan dana, sokongan kuratorial dan bantuan dalam membuat pameran, NHB juga akan bekerjasama dengan pemilik kedai tempatan untuk membangunkan program seperti ceramah, lawatan dan bengkel, serta memberi peluang untuk mengambil bahagian dalam acara penting NHB.
· Street Corner Heritage Galleries: Katong-Joo Chiat
· தெருமுனை மரபுடைமைக் காட்சிக்கூடங்கள்: காத்தோங்-ஜூ சியாட்
Hasil Tangan Tiga Generasi: Popiah Kway Guan Huat Joo Chiat
Popiah Kway Guan Huat Joo Chiat merupakan salah satu pembuat popiah dan kueh pie tee yang tertua di Singapura. Kedai ini diasaskan oleh Quek Tren Wen, seorang pendatang dari daerah Anxi, China, di alamat 95 Joo Chiat Road pada tahun 1938. Popiah berintikan sayur-sayuran dan daging dicincang halus yang kemudian disalut dengan kulit tepung nipis, manakala kueh pie tee pula diperbuat daripada inti yang sama tetapi disumbat ke dalam kulit kerak pai.
Quek akan bangun awal pagi untuk memulakan tugas yang sukar – iaitu menguli doh untuk hari itu dengan tangan. Doh yang berlebihan digunakan pula untuk membuat kulit kueh pie tee, sebagaimana yang dicadangkan oleh isteri keturunan Peranakannya, Tan Ah Poh. Pada mulanya, pelanggan utama Quek terdiri daripada keluarga Peranakan, namun sajian beliau menjadi buah mulut sehingga menyebabkan lonjakan dalam jumlah tempahan bukan sahaja daripada kalangan penduduk Joo Chiat, bahkan juga dari seluruh Singapura.
Kesemua 16 anaknya membantu di kedai. Anak lelakinya dilatih membuat kulit popiah, sementara anak perempuannya dibimbing oleh Tan untuk belajar menyiapkan inti popiah yang manis dan lazat. Pada tahun 1990-an, Ker Cheng Lye, anak lelaki sulung Quek, memutuskan untuk menangani permintaan yang semakin meningkat dengan menawarkan inti popiah dan sos untuk dijual selepas menyedari bahawa ramai pelanggan mereka mendapati sukar untuk meniru perisa buatan kedai itu.
Hari ini, dengan diterajui oleh Michael, pemimpin generasi ketiga, Kway Guan Huat cekal mengekalkan tradisi keluarga mereka yang dihargai itu di samping menghasilkan produk baharu seperti kulit popiah berperisa pandan. Jualan dalam talian kini setanding jumlah pelanggan yang mengunjungi kedai mereka, namun Kway Guan Huat tetap komited untuk menawarkan popiah segar dengan menggunakan teknik yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas, yang dipelopori oleh mendiang pengasas mereka.
Daripada Gerai Tepi Jalan sehingga menjadi Kebanggaan Kaum Peranakan: Kuih Chang Kim Choo
Kuih Chang Kim Choo, sebuah kedai sehenti untuk semua barangan kaum Peranakan, bermula di sebuah gerai sementara yang mempunyai pokok beringin di persimpangan Joo Chiat Place dan Everitt Road. Kedai ini diasaskan oleh Lee Kim Choo pada tahun 1945. Tidak seperti kebanyakan nyonya (wanita Peranakan) zaman itu, Lee membuka gerai untuk menyara keluarganya dengan menggunakan ilmu dan kemahiran memasak yang diturunkan oleh neneknya, Tok Siew Neo. Makanan dan budi pekerti Lee dengan cepat menjadikannya seorang yang diminati masyarakat Joo Chiat, malah menarik pelanggan dari Singapura. Makanan dan budi pekerti Lee dengan cepat menjadikannya seorang yang diminati Masyarakat Joo Chiat, malah menarik pelanggan dari pelbagai pelosok Singapura.
Pujian yang memberangsangkan untuk kueh chang (ladu nasi Peranakan) hasil tangannya, dengan inti yang banyak, mendorong Lee supaya menumpukan perhatian untuk menyempurnakan hidangan yang ikonik dan istimewa itu. Pada tahun 1970-an, beliau berpindah ke rumah kedai di 60 Joo Chiat Place, tempat ladu buatannya terus dijual hari ini.
Pada tahun 1997, menantu perempuan Lee, Helen Lim, memperkenalkan ladu yang lebih kecil, yang menjadi popular walaupun Lee pada mulanya ragu-ragu. Setelah mendapat kepercayaan Lee, Lim bersama suaminya, Wong Sin Min, mengambil alih kedai tersebut. Beliau memperkenalkan inovasi lain seperti ladu ayam dan vegetarian yang diisi dengan daging tiruan. Langkahnya itu, berserta membuat kuih lain menggunakan resipi Tok, membantu perniagaan mereka mengharungi krisis selesema burung dan babi. Apabila perniagaan mereka berkembang pesat, Lim telah menubuhkan sebuah kedai di East Coast Road pada tahun 2003.
Hari ini, perniagaan mereka dikendalikan oleh cucu-cucu Lee, yang telah mengembangkan lagi kedai mereka untuk bukan sahaja merangkumi masakan, bahkan juga budaya Peranakan dengan menubuhkan butik untuk pakaian Peranakan yang ditempah khas dan galeri mini, pada masa yang sama menjunjung warisan semangat kemasyarakatan dan komitmen nenek mereka terhadap mutu.
Kepuasan hingga ke Helaian Mi Terakhir: Kedai Mi Wantan Joo Chiat Fei Fei
Terkenal dengan mi telur kenyal buatan tangan yang dihidangkan bersama ladu babi segar, charsiew (daging babi panggang gaya Kantonis) buatan sendiri dan sos cili istimewa, kisah Kedai Mi Wantan Joo Chiat Fei Fei bermula lebih 70 tahun lalu dengan pengasas Chan Sin Yam dan kereta tolaknya yang sederhana.
Chan, yang datang ke Singapura pada usia 17 tahun dari wilayah Guangzhou, China pada tahun 1922, mula mengasah kemahirannya di kilang mi Jalan Besar sebelum berpindah ke Joo Chiat untuk menjual mi kepada para penjaja. Selepas perang, Chan bertukar menjadi penjaja; beliau menyusuri jalan Joo Chiat bersama anak-anaknya setiap hari. Cucunya, Lim Loon Huat, berada di hadapan mengayuh basikal; dialah yang mengumumkan ketibaan mereka dan mengambil pesanan pelanggan.
Pada tahun 1970-an, Chan menyewa sebuah kedai kopi di 72 Joo Chiat Place, yang diberikan nama manja, Fei Fei (“gemuk” dalam bahasa Kantonis), sempena dua cucunya yang gempal. Selepas kematian Chan pada tahun 2000, Lim, yang telah bekerja di Fei Fei sejak usia 20 tahun, memegang teraju sebagai pemilik generasi ketiga hingga sekarang ini. Dia memutuskan untuk membuka perniagaan itu sepanjang hari demi melayan orang ramai pada larut malam di Joo Chiat.
Sejak mengambil alih tampuk pimpinan, Lim memperkenalkan hidangan baharu seperti mi kutlet ayam dan yong tau fu (tauhu sumbat), dan memindahkan kedai ke 45 Joo Chiat Place pada tahun 2023 untuk mewujudkan suasana menjamu selera yang lebih selesa. Namun begitu, Fei Fei tetap berdedikasi untuk membuat dan menghidangkan mi bermutu tinggi yang sama yang dihasilkan oleh Chan, sekali gus memastikan warisan masakannya kekal dalam setiap mangkuk yang dihidangkan.
Meraikan Tradisi Masakan Peranakan: Restoran Guan Hoe Soon
Ditubuhkan pada tahun 1953 oleh Yap Chee Quee, Restoran Guan Hoe Soon merupakan antara kedai makan Peranakan tertua di Singapura, di mana generasi demi generasi keluarga berpeluang menikmati hidangan terkenal Hokkien-Peranakan seperti ayam buah keluak (sajian ayam dengan kacang keluak) dan hee pioh (sup perut ikan).
Yap tiba di Singapura dari wilayah Hainanin pada tahun 1918. Walaupun bukan dari warisan Peranakan, beliau mengasah kemahirannya memasak semasa bekerja sebagai pembantu rumah untuk pelbagai keluarga Peranakan. Salah sebuah keluarga itu ialah keluarga Chew Joo Chiat. Kemudian, beliau membuka kedai kopinya sendiri di 185 Joo Chiat Road. Masakannya menjadi buah mulut hinggalah tersebar kepada keluarga Peranakan yang lain. Mereka kemudian menjemput Yap dan anaknya Kow Soon untuk menyediakan jamuan mewah Tok Panjang (hidangan di atas meja panjang) di rumah masing-masing.
Dengan pelanggan mereka yang semakin ramai, Yap membuka restoran yang lebih besar di 214 Joo Chiat Road pada tahun 1953 untuk menampung pelbagai majlis – daripada jamuan perkahwinan hingga pengebumian – dan menamakan restoran itu Guan Hoe Soon sempena nama tiga anak lelakinya. Selepas kematian bapanya, keghairahan Kow Soon pada makanan mendorongnya supaya mengambil alih tampuk pimpinan perniagaan terkemuka itu, yang menarik pelanggan berprofil tinggi seperti mendiang Encik Lee Kuan Yew.
Restoran itu, yang kini diterajui oleh anak perempuan Kow Soon, Jenny, berpindah ke 38/40 Joo Chiat Place pada tahun 2009 dan kemudian ke 200 Joo Chiat Road pada tahun 2022. Setelah memperkenalkan rekaannya sendiri seperti kueh salat (kastard berperisa pandan yang diletak atas pulut), Jenny terus mengetuai Guan Hoe Soon dalam menyediakan masakan asli Peranakan dari mula hingga akhir dan mengekalkan rasa tradisional makanan yang dikenali dan disukai pelanggan.
Hangat Hingga Titisan Terakhir: Belanga Bak Koot Teh Sin Heng
Ditubuhkan pada tahun 1981, kedai makan milik keluarga ini bermula dengan dua gerai bak kut teh (tulang rusuk babi dalam sup lada atau herba) bernama Belanga Bak Koot Teh Sin Heng (bermaksud “Rezeki Baharu” dalam bahasa Hokkien), yang diasaskan oleh adik-beradik perempuan, Tey Chui Hua dan Tey Siew Hua, di dua kedai kopi di Bedok. Adik-beradik itu adalah tukang jahit yang gemar memasak sehingga berkongsi impian untuk mencari rezeki daripada kemahiran mereka memasak.
Pada tahun 1983, peluang muncul untuk membuka restoran mereka sendiri di 439 Joo Chiat Road bersama kakak mereka Sue Hua, serta suami Sue Hua, Andy Soo, dan suami Siew Hua, Lim See Kuang. Demi membezakan diri mereka daripada kedai bak kut teh yang lain, Sin Heng memperkenalkan periuk tanah yang dapat mengekalkan kehangatan kuah sehingga titisan terakhir – inilah yang akhirnya menjadi hidangan istimewa mereka.
Tahun 1999 membawa satu lagi cabaran dengan penularan wabak virus Nipah, apabila orang ramai menjauhi daging babi sehingga memaksa Sin Heng tutup pintunya selama dua bulan. Namun keluarga Tey tidak berputus asa; mereka mempelbagaikan menu dengan memperkenalkan hidangan baharu seperti ikan masam manis dan ayam ala Thai untuk memenuhi selera yang pelbagai. Hari ini, Sin Heng terus menghidangkan pelbagai jenis hidangan zi char (masakan mengikut pesanan) yang popular sebagai melengkapi hidangan bak kut teh mereka.
Kini dikendalikan oleh generasi kedua keluarga, Sin Heng tegak berdiri sebagai tempat kulinari kegemaran ramai di Joo Chiat, di mana banyak keluarga meraikan peristiwa penting dan para pengunjung kembali untuk menikmati tulang rusuk yang lembut dimasak dalam kuah berbau harum yang telah mengekalkan mutunya selama bertahun-tahun.
Sajian Kuih-muih Tradisional Yang Segar: D’Bun
Diasaskan pada tahun 1991 oleh Lee Mimi, D’Bun terkenal dengan pelbagai kuih-muih lazat yang menjadi buruan semasa musim perayaan. Didorong oleh kegemarannya terhadap makanan yang enak, Lee membuka gerai yang menjual makanan ringan tradisional di ruang bawah tanah Parkway Parade.
Diilhamkan oleh nama kafe popular yang bermula dengan “D” pada masa itu seperti “Delifrance”, Lee memilih nama kontemporari “D’Bun” untuk gerainya. Beliau pada mulanya memberi tumpuan kepada roti mini termasuk charsiew bao khas (roti ban babi panggang) dan da bao (roti daging babi yang dihiris). Sambutan yang memberangsangkan terhadap produk ini menyaksikan pengembangan D’Bun menjadi kedai roti sepenuhnya di 358 Joo Chiat Road pada akhir tahun itu. Walaupun D’Bun pada mulanya bergantung pada tukang roti profesional, dedikasi Lee mendorongnya supaya memperhalusi resipi dan memperkenalkan ciptaan seperti lian hua tao (roti panjang umur) yang berbentuk teratai dan dipotong rumit dengan tangan.
Wabak virus Nipah pada tahun 1999 banyak menjejaskan penjualan lantaran kebimbangan orang ramai sehingga menyebabkan penjualan roti ban babi menjunam. Ini mendorong Lee supaya mempelbagaikan sajian D’Bun dan memperkenalkan hidangan musim perayaan dengan kelainan, seperti kuih-muih berbentuk ikan koi berisi durian dan roti ban haiwan zodiak Cina. Usaha ini juga membuka jalan kepada pengenalan kuih bulan bermusim dan ladu nasi yang dibuat segar setiap hari.
Hari ini, menjadi tradisi tahunan D’Bun untuk memperkenalkan ciptaan asli berdasarkan hidangan tradisional, seperti kuih bulan pistasio dan kuih bulan kek keju. Bersama anak perempuannya Serena, Lee terus berinovasi dengan makanan istimewa buatan tangan yang menerapkan rasa moden dan menambah kelainan segar kepada tradisi masakan tempatan.